Bergembira tepuk tangan sama-sama............Bergembira tepuk tangan sama-sama............Bergembira tepuk tangan sama-sama............Bergembira tepuk tangan sama-sama............Bergembira tepuk tangan sama-sama............Bergembira tepuk tangan sama-sama .........Bergembira tepuk tangan sama-sama

Najib dan penentuan 2012



saya menyatakan bahawa “tahun 2011 barangkali boleh dinamakan sebagai ‘tahun persediaan pilihan raya’ dan ‘pelaksanaan manifesto - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ untuk berhadapan dengan slogan ‘Ubah Sekarang dan Selamatkan Malaysia’ barisan pembangkang” yang kini menjadi ‘Demi Rakyat’.
Saya juga menyatakan bahawa “Dalam Pilihan Raya Umum (PRU 13) mereka tidak lagi boleh menyalahkan pengundi hantu atau memilih untuk melihat kelemahan lawan semata-mata. Kekuatan pembangkang sendiri akan menjadi asas ukuran PRU 13. BN juga perlu mencari kekuatan.
Cabaran besar Najib adalah untuk memobilisasi sokongan bertunjangkan kekuatan Barisan Nasional (BN) supaya mandat pilihan raya dapat digunakan untuk meletakkan landasan perjalanan beliau dalam meneruskan transformasi tanah air”.
Tahun 2011 berlalu dengan pelbagai pencapaian dan cabaran yang memerlukan ia mengalas tuntutan, mengisi perjuangan dan menjulang harapan berpaksikan kepada usaha menterjemah sokongan dalam bentuk undian. Tafsiran pelbagai pihak berubah apabila muncul sesuatu isu. Apakah Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sudah bersedia? Adakah Najib yakin dengan pasukan di bawah bimbingan beliau benar-benar menunjukkan komitmen untuk mengharungi ‘ibu segala PRU’ dengan cekal dan tabah yang akan diadakan tahun ini biar pada Mac ataupun Jun?
Ataupun ia hanya akan menjadi satu lagi PRU yang pada awalnya akan penuh dengan motivasi tetapi menjadi lemah dengan didominasi oleh sabotaj dalaman? Adakah sudah wujud kesedaran bahawa tampuk kuasa bersifat sementara? Formula ‘calon boleh menang’ sering diberi tafsiran berbeza dan bagaimanakah yang tidak dipilih akan menerima hakikat sudah digugur; sokongan kepada calon baru; pertukaran kerusi; calon keahlian terus BN dan lebih daripada itu, apakah pakej yang akan diberikan kepada rakyat oleh BN untuk mendahului janji pakatan pembangkang?
Tahun 2011 boleh dinamakan sebagai tahun ‘memenuhi tuntutan’ bukan menggalas tuntutan yang diekori dengan penekanan idealisme menjunjung kekuatan di peringkat pusat. Tahun 2012 sewajarnya menjadi tahun ‘perjuangan’ bertujuan untuk memastikan parti yang dipimpin sudah kembali menerima sokongan, kepercayaan dan keyakinan.
Ketika Najib mengambil alih teraju kepimpinan negara, dalam ucapan dasar pertama selaku Presiden parti di Perhimpunan Agung UMNO 2009, beliau mahukan ‘ahli parti kerap melakukan muhasabah; bersedia menilik dalam diri, melihat kelemahan dan memperbetulkan kekhilafan’. Yang diutamakan adalah bagaimana perlu mewajahkan perilaku dan mengemaskan diri dengan nilai akidah sebagai asas jati diri, bersifat rendah diri dan tawaduk. Peringatan yang jelas adalah bahawa ‘dalam negara demokrasi, rakyatlah yang memilih pemimpin. Pemimpin yang mereka mahukan adalah pemimpin yang sentiasa bersedia memberikan khidmat’.
Malahan, kriteria ‘calon yang boleh menang’ sudah dirungkai oleh beliau pada ketika itu yang dengan rujukan kepada ‘seseorang yang diterima masyarakat tempatan di samping mempunyai kualiti untuk berkhidmat kepada tiga peringkat penting, yakni, peringkat rakyat, peringkat parti dan peringkat negara. Pada analisis akhir, inilah calon yang dikehendaki rakyat dan akan memenangi pilihan raya’.
Maka, soal ciri-ciri calon boleh menang yang dibayangkan oleh beliau adalah sebagaimana di atas. Ia jelas dan sesiapa yang tergolong dalam kategori ini selamat, dilemanya adalah bagaimana penerimaan ke atas calon yang barangkali tidak mempunyai jawatan dan kesediaan yang lain menerima beliau dan menggerakkan jentera untuk memastikan calon menang tersebut termasuk oleh Ketua Bahagian dan yang seangkatan dengan kumpulan gurkha ini?
Peringatan demi peringatan telah beliau lontar dan ajak ahli parti dan rakyat ‘percaya’ kepada beliau. Apakah dalam penentuan tahun 2012, ungkapan di atas yang bersifat memberikan kata dua kepada misi ‘hidup atau mati’ parti sudah dijana menjadi motivasi dan suntikan semangat gegaran jiwa ahli dan parti?
Dalam Perhimpunan UMNO tahun 2011, Najib memberikan senario sebagai ‘orang UMNO’ dan bezanya dengan ‘ahli UMNO’. Deskripsinya mudah yang mana kalau ramai sedar, rujukan adalah kepada motto UMNO sendiri iaitu bersatu, setia dan berkhidmat. Ia bertujuan untuk memberikan gambaran ke atas survivalitas parti dan Barisan Nasional sendiri yakni ‘sama ada kita akan kekal sebagai parti yang dipercayai rakyat dan mendapat mandat bagi terus menjadi kerajaan, bergantung kepada kesedaran, kefahaman dan tindakan kita selanjutnya’.
Jika sudah diberikan ingatan sedemikian rupa, adakah ‘game plan’ sudah berubah dengan mengetahui apakah pelan tindakan yang perlu diambil; melangkaui pemikiran lawan ke atas parti dan waktu yang sama strategi untuk mematahkan serangan bertubi-tubi? Dalam perlawanan bola sepak, di samping arahan kapten, peranan midfield cukup penting yang mempamer permainan yang menawan walaupun kadang-kadang tewas kerana terlalu leka dan seronok sendiri. Ketidakupayaan Messi misalnya walaupun cukup ganas ketika bersama Barcelona tetapi tidak ketika bermain untuk Argentina boleh dijadikan sebagai analogi.
Najib juga telah menyenaraikan lima kekuatan teras iaitu keupayaan menggagas semula parti, prinsip wasatiyyah, mengulungi idea, utamakan kebajikan rakyat, dan menunaikan janji. Ini juga dianggap sebagai ‘game changer’ dengan realiti baru landskap politik arus perdana, penguasaan media baru, menghayati pemikiran baru, tidak bersikap angkuh, tidak mendominasi, bekerjasama dengan parti lain, pelaksanaan pelan transformasi pelbagai. Kesemua ini dianggap membina Malaysia yang ada nilai kompromi dan pengorbanan sehingga diberi peringatan ‘kalau mandi air di kali, jangan lupa pada siapa yang menggalinya’.
Najib telah merencanakan pemikiran politik beliau dari usaha berterusan pemasaran politik dan penyampaian maklumat dan informasi tetapi sejauh manakah dasar, aktiviti dan program yang membawa kepada hasil pelaksanaan disalurkan maklumat kepada kumpulan sasar? Siapakah berperanan melakukannya terutama menyebar apa yang dilakukan dari yang tidak dilakukan; mendekati dengan aktiviti ofensif serta proaktif dari defensif?
Sebagaimana beliau perihalkan di Konvensyen Barisan Nasional 2010 ‘politik itu penuh dengan percaturan persepsi dan permainan angka, bukan sekadar cukup dengan persepsi positif, akan tetapi kepercayaan sebenar rakyat terhadap Barisan Nasional perlulah terus dipupuk dan dibaja dengan jalan bekerja keras serta usaha yang bersungguh-sungguh’.
Apakah anggota komponen memainkan peranan mereka bersama-sama menjadi pasukan yang kembali kepada asas-asas perjuangan asal pereka cipta parti ini?
Adakah semboyan yang dibunyikan oleh beliau termasuk dengan menyatakan bahawa ‘perlu berubah atau berisiko untuk rebah’ diterima ramai yang masih senyap dan diam? Adakah ia sinonim dengan empat penyakit yang beliau namakan dalam konvensyen tersebut iaitu ‘delusion atau khayalan, amnesia atau kelupaan, inertia atau kejumudan dan arrogance atau keangkuhan’ kerana tambah beliau ‘parti yang terlampau lama berkuasa jarang melakukan muhasabah atau introspeksi terhadap kelemahan diri’.
Di manakah carta parti yang bertanggungjawab dan melaksanakan amanah rakyat dipamer, disemai dan dipupuk dalam jiwa masyarakat? Adakah peringatan beliau dari falsafah Cina iaitu “Xian tian xia zhi you er you, hou tian xia zhi le er le " bermaksud ‘selesaikanlah masalah rakyat sebelum kesusahan menimpa mereka, bahagiakanlah hidup rakyat sebelum semua dapat hidup bahagia’ sudah dilaksanakan.
Penentuan 2012 adalah ‘siapa kita dan parti’ dan ‘siapa kita dalam masyarakat’ kerana rentetan sejarah dan susur galur yang dilalui selama ini adalah dari tali-temali yang sudah disimpul sedemikian rupa dalam konteks kemasyarakatan tanah air yang seterusnya dipasak oleh Najib.
Apakah ini boleh menjadi sandaran dalam penentuan yang akan berlaku pada tahun 2012? Soalnya, apakah umum sudah tahu mengapa perlu mengundi parti yang berumur 39 tahun ini?


PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia.

Apa pendirian Pas?



PADA 9 Julai lalu, apabila berlakunya perhimpunan haram Bersih di Kuala Lumpur, Pas merupakan kelompok terbesar menghantar penyokongnya. Malahan beberapa pemimpin utama parti turut serta biar pun ia adalah satu perhimpunan yang dianggap melanggar undang-undang.
Bagaimanapun apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mengadakan Himpunan Sejuta Umat (Himpun) baru-baru ini bagi membanteras gejala murtad, Pas 'senyap dan sunyi', yang hadir hanyalah Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr.Hasan Ali.
Beliau pergi atas kapasiti peribadi sebagai pemimpin Islam bukan mewakili Pas.
Kini Pas menjadi tumpuan lagi apabila kesetiaan mereka sebagai sekutu pembangkang akan dituntut pada 9 Januari ini dalam kempen 'Bebaskan Anwar 901'.
Kita tidak pasti apakah pendirian Pas dalam kempen tersebut? Apakah Pas akan mengerahkan penyokongnya atau menyerahkan kepada mereka untuk membuat keputusan sendiri.
Tetapi hakikatnya golongan pro-Anwar di dalam Pas tidak akan duduk diam, mereka pasti akan mendesak supaya pucuk pimpinan parti membuat kenyataan agar penyokong parti itu turun menyokong Anwar. Sememangnya semua orang tahu siapa lebih berpengaruh di dalam Pas sejak parti itu dikatakan dikuasai oleh puak Anwarinas.
Bagaimanapun Pas perlu berhati-hati dalam tindakannya, ini kerana himpunan haram yang dicadangkan pada 9 Januari ini bukanlah sebarangan.
Tersilap langkah Pas boleh dituduh 'bersubahat' menghina institusi kehakiman negara. Tak apalah jika sebelum ini Pas hendak menjadi 'pak turut' apabila bersedia mengerahkan 'bala tenteranya' turun ke jalanan.
Tetapi isu 9 Januari ini melibatkan keputusan mahkamah. Oleh itu, pemimpin Pas tidak harus terpengaruh dengan ketidakmatangan sesetengah pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang melancarkan kempen Bebas Anwar 901.
Pas sendiri sudah menyaksikan bagaimana perjalanan perbicaraan berlangsung dan di kalangan pemimpin Pas sendiri dikatakan bosan apabila Anwar berpuluh-puluh kali memohon penangguhan.
Namun mahkamah tetap membenarkannya, kalau mahkamah tidak adil sudah lama permohonan Anwar akan ditolak.
Bagaimanapun semua itu tidak berlaku, mahkamah memberi peluang seadil-adilnya untuk membela diri. Beliau bukan sahaja dibantu oleh barisan peguam yang hebat belaka, malahan Anwar juga dibenarkan membawa saksi dan pakar daripada luar negara bagi memberi keterangan.
Oleh itu, Anwar telah menjalani perbicaraan yang adil dan Pas tentu mengakui perkara, justeru kalau Pas terlibat dalam kempen Bebas Anwar 901 maknanya mereka tidak menghormati institusi kehakiman.
Pas perlu ingat kempen yang dilancarkan menggunakan istilah 'Bebas Anwar' dan bukannya 'Sokong Anwar', kalau sekadar 'sokong' tidak mengapa kerana Pas sememangnya kawan baik PKR dan DAP tetapi kenapakah awal-awal lagi lancar kempen 'bebas Anwar' sedangkan keputusan masih belum diketahui?
Penggunaan istilah 'bebas Anwar' ini boleh ditafsirkan seolah-olah bagi penyokong Anwar terutamanya daripada PKR, tidak kira apa pun hujahnya pada 9 Januari ini harus ada satu sahaja keputusan iaitu Anwar mesti dibebaskan!
Soalnya apakah Pas begitu yakin bahawa Anwar tidak bersalah sehingga bersedia untuk turun ke jalanan bagi 'membebaskan' beliau. Sepatutnya Pas menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk membuat keputusan.
Anwar bukannya sedang berada di penjara tetapi berada di luar penjara, beliau bebas ke mana sahaja hatta ke luar negara sekali pun biar pun sedang berhadapan dengan kes serius di mahkamah, pasport beliau tidak ditahan.
Justeru Pas janganlah mudah diperbodohkan dengan mainan politik PKR yang pada masa ini bermati-matian mahu memperjuangkan Anwar kerana itulah matlamat sebenar penubuhan parti itu.
Percayalah PKR amat bergantung kepada Pas untuk turun ke jalanan, mereka tidak boleh berharap kepada DAP yang sudah pasti tidak akan membiarkan penyokongnya dikejar oleh polis atau terkena semburan air.
Cuba lihat apa yang berlaku pada himpunan haram Bersih yang lalu, demonstrasi tersebut tidak akan berlaku jika penyokong Pas tidak turun tetapi apa yang Pas dapat?
Pas hanya dimaki-hamun oleh warga kota kerana telah menyusahkan mereka, mengaku parti memperjuangkan Islam tetapi perangai tidak melambangkan peribadi Islam sebenar.
Oleh itu Pas perlu berhati-hati dalam penglibatannya dalam kempen 'Bebas Anwar 901', janganlah mengikut nafsu politik dan janganlah terlalu yakin bahawa isu Anwar ini akan membantu pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.
Percayalah senario sudah berubah, Anwar kini dilihat bukan sahaja liabiliti kepada pembangkang tetapi juga negara kerana beliau sanggup memburuk-burukkan tanah air sendiri demi dendam politiknya. Jadi adakah Pas akan bersekongkol dengan orang seumpama ini?
Tidakkah kerana adanya Anwar, pemimpin-pemimpin Pas yang jauh lebih baik budi pekerti dan akhlaknya dipinggirkan serta seolah-olah tidak dihormati hatta oleh sesetengah pengikut Pas sendiri.
Apakah Anwar begitu hebat sehingga DAP berkata, kalau Anwar dipenjara sekali pun, beliau tetap dilantik sebagai Perdana Menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya.
Semua keadaan ini jelaslah menunjukkan Pas dan pemimpinnya hanya menjadi alat kepada PKR dan DAP untuk menang dalam pilihan raya, tidak lebih daripada itu.
Kalau mereka menghormati Pas sudah pasti, mereka akan berhati-hati dalam membuat kenyataan seumpama itu.
Sebab itulah Pas janganlah terus membiarkan diri diperalatkan semata-mata untuk memperjuangkan nasib Anwar. Apa yang lebih penting memikirkan sejauh manakah perjuangan mereka dalam soal berkenaan akan menguntungkan Pas.
Rakyat sekarang sudah bijak, mereka sudah tahu hendak menilai apakah dalam kes Anwar ini satu konspirasi atau sememangnya ia realiti, apa pun mereka menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.
Berdasarkan kepada keadaan itu, Pas janganlah teruja sangat hendak membela Anwar sehingga sanggup bersedia mengerahkan penyokongnya menyertai kempen Bebas Anwar 901.
Sebenarnya kempen itu tidak ada apa-apa pun kesan politik kepada negara kerana satu kaji selidik menunjukkan bahawa isu Anwar bukanlah lagi satu isu politik bertaraf nasional yang perlu diberi perhatian.
Sebaliknya, ia dianggap isu peribadi yang perlu diselesaikan oleh Anwar sendirian dan bukannya cuba menyeret rakyat apatah lagi mencetus huru-hara.
''Kita jangan layan kempen tu kerana memang itulah tujuan Anwar hendak mengembar-gemburkan situasi seolah-olah akan berlaku sesuatu yang buruk pada 9 Januari ini,'' kata seorang pemimpin muda Pas kepada penulis.
Menulis penyokong Pas berkenaan, di dalam parti itu sendiri sudah wujud sentimen agar usah dilayan kempen bebas Anwar tersebut.
Jadi Pas kenalah berhati-hati apatah lagi dalam keadaan parti itu dilihat semakin tidak konsisten dalam perjuangan dan dilihat hanya menjadi 'pak turut' semata-mata.
Dalam keadaan apa sekali pun sama ada Anwar dipenjara atau dibebaskan pada 9 Januari, Pas tetap rugi kerana PKR dan DAP tidak akan memberi apa-apa keistimewaan kepada Pas apatah lagi untuk menjadi parti dan pemimpin utama dalam pakatan pembangkang.

Demo Upsi: Saifuddin gesa elak fitnah, bawa bukti


Datuk Saifuddin Abdullah menggesa pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan insiden di pintu masuk utama Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) semalam, yang bertukar menjadi ganas supaya tampil dengan bukti menggunakan saluran-saluran sesuai.

"Pihak-pihak yang tidak puas hati dalam insiden ini wajar tampil dengan bukti masing-masing. Saluran menyuarakannya ada, contohnya melalui Suhakam," kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, dalam kenyataannya pensyarah Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, kerajaan perlu mengadakan satu suruhanjaya bagi menyiasat kontroversi terbaru membabitkan perhimpunan di pekarangan Upsi itu.

Selain itu, Asri yang juga bekas Mufti Perlis menyarankan agar Saifuddin, yang sebelum ini menjadi fokus isu-isu generasi muda dan penuntut universiti, mengadakan satu pertemuan antara polis dan mahasisawa yang terbabit dalam perhimpunan di Upsi, bagi mencari jalan penyelesaian.

Asri berkata, beliau telah memberi pendapat itu kepada Saifuddin semalam, beberapa jam selepas insiden di pintu masuk utama Upsi pada awal pagi tahun baru 2012.

"Saya juga telah beri pendapat tadi (semalam) kepada Datuk Saifuddin agar berjumpa dengan ketua operasi polis dan pihak pelajar secara tertutup.

"Siasat. Bawa peguam yang baik untuk bersoal jawab. Mungkin hakikat sebenar dapat ditemui," kata beliau yang kini merupakan Felo Pusat Pengajian Islam Oxford.

Mengulas lanjut mengenai insiden di pekarangan Upsi awal pagi semalam, Saifuddin yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, beliau telah meneliti kenyataan-kenyataan dibangkitkan oleh banyak pihak menggunakan pelbagai medium sejak awal semalam.

"Saya dapati terdapat kenyataan atau istilah tertentu yang digunakn tak tepat atau sesuai," katanya.

Sehubungan itu Saifuddin menambah, beliau juga telah menyeru semua pihak agar lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan atau istilah bagi mengelakkan elemen-elemen fitnah.

"Kerana saya bimbang berlaku fitnah daripada insiden ini," katanya.

Dalam kenyataannya, Saifuddin juga berkata, mahasiswa ada hak untuk bersuara tetapi perlu dengan cara yang sesuai.

"Polis ada tanggungjawab menjaga keamanan dengan cara tertentu. Saya yakin tiada permusuhan antara kedua-duanya," katanya lagi.

Dr Asri: Dua formula selesai isu demo Upsi


Kerajaan perlu mengadakan satu suruhanjaya bagi menyiasat kontroversi terbaru membabitkan perhimpunan menuntut kebebasan akademik di pekarangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) semalam yang bertukar ganas, kata Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Selain itu, pemerhati politik dari Universiti Sains Malaysia ini juga menyarankan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, yang sebelum ini menjadi fokus isu-isu generasi muda dan penuntut universiti, agar mengadakan satu pertemuan antara polis dan mahasisawa yang terbabit dalam perhimpunan bagi mencari jalan penyelesaian.

Asri berkata, beliau telah memberi pendapat itu kepada Saifuddin semalam, beberapa jam selepas insiden di pintu masuk utama Upsi pada awal pagi tahun baru 2012.

"Saya juga telah beri pendapat tadi (semalam) kepada Datuk Saifuddin agar berjumpa dengan ketua operasi polis dan pihak pelajar secara tertutup.

"Siasat. Bawa peguam yang baik untuk bersoal jawab. Mungkin hakikat sebenar dapat ditemui," kata bekas Mufti Perlis ini dalam satu kenyataannya awal pagi ini.

Laporan media menyebut beberapa pelajar pusat pengajian tinggi tercedera manakala 17 orang ditahan polis. Bagaimanapun kesemua mereka yang ditahan telah dibebaskan petang semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan menafikan dakwaan anggotanya menggunakan kekerasan ketika menyuraikan perhimpunan anjuran kumpulan penuntut Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Shukri berkata dakwaan yang tersebar di beberapa blog mengenai kecederaan dua anggota SMM akibat dipukul Pasukan Simpanan Persekutuan adalah tidak benar dan merupakan fitnah.

Bagaimanapun tindakan polis dikritik beberapa pihak.

Peguam-peguam yang mewakili mahasiswa terbabit bercadang mengadakan tindakan undang-undang.

Asri yang kini merupakan Felo Pusat Pengajian Islam Oxford berkata, bukan semestinya pihak berkuasa bersetuju dengan tuntutan kumpulan mahasiswa yang mengadakan perhimpunan, tetapi mereka tidak wajar diperlakukan sedemikian. 

"Jika mahu tahan, tahan dengan prosedur yang betul, bukan pukul. Menindas mereka hanya membangkitkan sentimen kebencian kepada pihak kerajaan yang nanti tidak dapat diubati lagi.

"Kena ingat apa yang berlaku di Tunisia. 

Suruhanjaya siasatan perlu dibuat. Saya di UK, diberikan pelbagai maklumat dari pelbagai pihak. Ada yang sokong, ada yang marah," katanya yang turut mengulas isu ini menerusi Twitter semalam.

Tambah beliau, "saya juga menjemput sekali lagi anggota polis di mana sahaja, membaca surat terbuka saya kepada polis yang saya tulis beberapa bulan lepas."

"Mungkin ada yang boleh diambil manfaat. Saya sedar polis juga ada tanggungjawab mereka, tapi kena cermat dan teliti," katanya lagi.

Surat itu disiarkan oleh beberapa portal pertengahan tahun lalu ketika isu perhimpunan Bersih 2.0 hangat diperkatakan.

Sambil berkata beliau terkejut melihat beberapa mahasiswa yang menyertai demonstrasi tercedera, Asri berkata, jika terbukti pihak polis yang memukul mereka, ia sesuatu yang malang bagi negara. 

"Apa pun kena siasat siapa yang salah," kata beliau sambil menambah, "saya berpendapat golongan terpelajar mesti diberi ruang bersuara dengan syarat aman daripada (kejadian) rusuhan."

"Jika mereka diganggu atau dicederakan, ia petanda kezaliman sesuatu pemerintahan," katanya

Lokasi pusat karaoke dan snooker berhampiran masjid




ALOR SETAR - Lokasi sebuah pusat karaoke dan snooker yang terletak berhampiran masjid di Pekan Tanah Merah, Pendang, menimbulkan persoalan kerana ia dilihat beroperasi tanpa mengambil kira sensitiviti orang Islam.
Pengerusi Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Pendang, Shaharol Niza Omar berkata, pusat karaoke dan snooker yang terletak di tingkat atas sebuah stesen minyak itu, beroperasi antara jam 10 pagi hingga jam 2 pagi dan sering dikunjungi golongan belia.
Menurutnya, pusat karaoke dan snooker berkenaan yang agak tersorok daripada pandangan umum itu dipercayai mula beroperasi sejak penghujung tahun lalu.
"Pusat karaoke dan snooker itu beroperasi setelah stesen minyak berkenaan dibuka pada 2010. Bagaimana ia   boleh beroperasi di situ sekiranya tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.
"Saya difahamkan, pusat hiburan berkenaan sebelum ini beroperasi di Pekan Pendang namun kemudiannya berpindah dan beroperasi di atas stesen minyak terbabit," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Shaharol Niza yang juga Bendahari Kehormat Majlis Belia Kedah, berkata, walaupun lesen hiburan dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat namun pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri yang mempunyai kuasa memberikan lesen premis.
"Timbul keraguan mengenai kenyataan Exco Kerajaan Negeri, Dr Ismail Salleh yang juga Adun Alor Mengkudu, yang memaklumkan bahawa pusat hiburan di negeri ini, beroperasi setelah mendapat lesen yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu.
"Namun apa yang pasti, kewujudan pusat karaoke dan snooker ini adalah tidak sesuai dan boleh mengundang kepada pelbagai masalah sosial melibatkan golongan remaja dan belia," katanya.
Menurutnya, MAYC Pendang melakukan siasatan sendiri dan mendapati bahawa majoriti pengunjung ke 'Pusat Karaoke dan Snooker Pendang' terdiri daripada remaja dan belia Melayu.
"Maklumat yang diperolehi daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati 'alamat utama perniagaan' adalah tidak jelas sebaliknya hanya dicatatkan beralamat di 'Bandar Baru Tanah Merah, 06700 Pendang, namun tidak dinyatakan dengan jelas nombor premis atau lot kedai.
"Ini bermakna pusat karaoke dan snooker ini boleh beroperasi di mana-mana lokasi di dalam kawasan Bandar Baru Tanah Merah. Tetapi bagaimana lesen premis berkenaan boleh diluluskan sedangkan lokasi operasinya tidak dinyatakan dengan jelas," katanya.

MB Terengganu beri amaran pihak cuba murtadkan umat Islam


Kerajaan negeri Terengganu memberi amaran kepada mereka yang dianggap cuba 'bermain api' untuk memurtadkan umat Islam termasuk orang kelainan upaya (OKU) di negeri ini. 

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata mereka yang terbabit harus menghormati umat Islam dan menghentikan perbuatan yang bertentangan dengan perlembagaan negara kerana dikhuatiri akan mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

"Gerakan itu sangat serius dan perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua pihak khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT)...JHEAT perlu mengemukakan laporan kepada kerajaan. Kita juga minta kerjasama masyarakat Islam yang tahu mengenainya agar memaklumkan kepada pihak berwajib.
"Perkara ini adalah isu yang sensitif, ini soal yang serius. Jangan cuba bermain api," katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak mangsa kemalangan jalan raya, Iman Adam Raman, 9, yang lumpuh di Kampung Kebor Besar dekat sini, hari ini. 

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan JHEAT baru-baru ini bahawa wujud pihak tertentu yang bergerak aktif dalam usaha memurtadkan umat Islam di negeri itu termasuk OKU. 

Pesuruhjaya JHEAT, Mohd Rozali Saleh ketika mendedahkan perkara itu baru-baru ini berkata, gerakan itu turut menyusup ke hospital untuk memperdaya pesakit yang sebatang kara selain mat rempit dan golongan tidak berkemampuan. 

Mohd Rozali turut meluahkan kebimbangannya dengan gejala itu dan menurutnya tindakan sewajarnya akan diambil bagi membendung perkara itu daripada menjadi bertambah serius. 
Ahmad bagaimanapun menjelaskan pihaknya masih belum menerima laporan terperinci mengenai perkara itu daripada JHEAT. - BERNAMA 

Kekecewaan terhadap Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar



Kira-kira 100 penduduk Taman Sentosa di sini berhimpun secara aman bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pemberhentian perkhidmatan bas henti-henti di tempat mereka sejak dua bulan lalu.
Mereka yang berhimpun kira-kira setengah jam bermula pukul 10.30 pagi turut menyatakan kekecewaan terhadap Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar yang mereka dakwa lepas tangan terhadap masalah yang dihadapi penduduk.
syarikat pengendali bas tersebut menghentikan perkhidmatan mereka di kawasan itu selepas kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor gagal berbincang mengenai beberapa perkara berbangkit termasuk isu kadar tambang.
Seorang penduduk, Mohd. Khir Johari, 51, berkata, apabila perkhidmatan bas diberhentikan, ia menyukarkan penduduk untuk menjalankan urusan harian terutama pelajar sekolah dan mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri serta hanya bergantung kepada pengangkutan awam.
"Ini menyukarkan anak-anak kami untuk ke sekolah terutama sekali apabila musim persekolahan baharu akan dibuka hanya beberapa hari saja lagi.
"Satu-satunya pilihan pengangkutan awam yang ada untuk kami buat masa ini adalah perkhidmatan teksi yang kadar tambangnya jauh lebih mahal berbanding perkhidmatan bas sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas mengadakan perhimpunan aman itu di Jalan Datuk Dagang 6, Taman Sentosa di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk Hassan Mat Isa, 59, pula mengeluh kerana terpaksa membayar kadar tambang teksi yang jauh lebih mahal setiap kali hendak ke pusat bandar iaitu RM30 untuk pergi dan balik berbanding hanya RM1.40 sahaja untuk bayaran tambang bas sebelum ini.
"Dengan pemberhentian perkhidmatan bas ini, perbelanjaan harian penduduk di sini juga meningkat berkali ganda dan ia sangat membebankan. Kami desak kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah perkhidmatan bas di kawasan kami ini sekiranya mereka benar-benar prihatin terhadap rakyat," tegasnya.
G. Sivananthan, 65, pula kecewa dengan Dr. Siti Mariah dan Dr. Xavier yang langsung tidak menghiraukan keluhan penduduk walaupun pemberhentian perkhidmatan bas itu membebankan mereka.
"Kedua-dua wakil rakyat ini sehingga hari ini gagal menyelesaikan masalah ini walaupun mereka tahu yang ia membebankan penduduk di sini. Apakah ini cara layanan kerajaan berkebajikan kepada rakyatnya?," dia menyindir.
Selain itu, Albert Khaw, 57, pula berkata, dia hairan kerana sejak kerajaan negeri diambil alih oleh PKR pada 2008, pelbagai masalah penduduk timbul dan mereka dilihat gagal menyelesaikannya walaupun penduduk beberapa kali menyuarakan keluhan mereka.
"Semasa berkempen pada pilihan raya umum yang lalu, mereka menabur pelbagai janji kepada rakyat, tetapi selepas memenanginya mereka ternyata gagal mentadbir negeri dengan baik, malah keputusan yang dibuat mereka kebanyakannya sering membebankan rakyat," ujarnya.


Pas akui ubah pendekatan untuk diterima rakyat


Pas Kelantan mengakui beberapa pendekatan dan strategi pemerintahannya di negeri ini diubah selaras dengan perkembangan semasa bagi memastikan parti itu terus diterima oleh masyarakat.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, secara dasarnya Pas Kelantan tetap dengan perjuangan menegakkan Islam di negeri ini kerana ia telah terkandung dalam perlembagaan parti.
Jelas beliau, perkara sama turut berlaku dalam hukum hudud yang diperjuangkan parti itu di mana masyarakat bukan Islam diberi pilihan sama ada mahu menerima hukum tersebut atau tidak.
"Pas tidak pernah lari daripada perjuangan asal. Perjuangan Pas adalah mengikut perlembagaan dan ia kekal sehingga ke hari ini, cuma yang berubah adalah pendekatan, strategi dan keperluan semasa.
"Pasal hudud, kalau kita baca kita ada pandangan sekiranya dilaksanakan hendaklah kepada semua anggota masyarakat tetapi ada juga pandangan orang bukan Islam boleh buat pilihan. Jadi, kita ambil pandangan yang kedua," katanya.Beliau mengulas dakwaan bahawa hudud yang diperjuangkan Pas hari ini tidak lagi berlandaskan al-Quran dan hadis kerana ia telah dipinda.kenyataan bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Ahmad yang mendakwa hukum hudud yang diperjuangkan parti itu telah dipinda pada 1993 susulan kerjasama Pas dengan Semangat 46, DAP dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada Pilihan Raya Umum 1990.
Wan Ismail dilaporkan berkata, perjuangan hukum hudud yang sebenar terdapat di dalam manifesto Pas Kelantan pada Pilihan Raya Umum 1986 iaitu semua pihak tidak kira Islam atau bukan Islam akan dihukum jika didapati bersalah.
Menurut Wan Ismail, hukum hudud itu diubah oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, apa yang dilakukan Pas selepas memerintah negeri ini adalah memberi pilihan kepada orang bukan Islam sama ada mereka mahu atau tidak mengikut hukum hudud.

Masyarakat India desak Ramasamy letak jawatan



Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Profesor P. Ramasamy didesak meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengurusan Harta Wakaf Hindu (Endowment Board) negeri Pulau Pinang.
Desakan itu dibuat oleh masyarakat India dari sekitar Jalan Telaga Air, Butterworth yang mendakwa Ramasamy telah menyalahgunakan kuasa dengan membenarkan sebuah pusat membasuh kereta dan pusat jualan kereta terpakai dibina di atas tanah milik kuil.
Seorang wakil penduduk, S. Rajasegar, 46, berkata, tanah seluas 1.6 hektar itu adalah milik Kuil Mariamman manakala lembaga tersebut dilantik sebagai pemegang amanah.
“Penduduk di sini sering menjadikan tanah lapang ini sebagai lokasi upacara keagamaan kaum India dan sengaja dibiarkan kosong tanpa sebarang pembangunan.
“Tapi Ramasamy yang diharapkan dapat membantu orang India telah menyerahkan tanah itu kepada individu tertentu untuk dibangunkan sebagai pusat membasuh kereta dan pusat jualan kereta terpakai,” katanya.
Beliau ditemui selepas mengadakan demonstrasi secara aman yang disertai kira-kira 50 orang hari ini.
Tambah Rajasegar, lembaga berkenaan tidak sepatutnya mengambil tanah milik orang ramai sewenang-wenangnya tetapi harus merujuk serta mendapat pandangan umum terlebih dahulu.
Jelas beliau, pihaknya tidak menghalang sekiranya dibina gerai-gerai jualan untuk membantu menambah pendapatan penduduk sekitar kerana ia memberi manfaat kepada golongan memerlukan.
“Kami kesal dengan tindakan Ramasamy ini kerana dia dilantik oleh rakyat bagi menjaga kepentingan orang India di Pulau Pinang namun beliau sendiri yang merampas hak orang India.
“Malah usaha kami untuk berbincang dengan pihak lembaga juga tidak dilayan seolah-olah kami tiada kepentingan di mata mereka,” ujarnya.
Rajasegar berkata, penduduk tidak teragak-agak untuk menuntut tanah itu melalui proses undang-undang dan akan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sekiranya terbukti ada penyelewengan berlaku.