Bergembira tepuk tangan sama-sama............Bergembira tepuk tangan sama-sama............Bergembira tepuk tangan sama-sama............Bergembira tepuk tangan sama-sama............Bergembira tepuk tangan sama-sama............Bergembira tepuk tangan sama-sama .........Bergembira tepuk tangan sama-sama

Tuanku puji kapal TLDM

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menyarankan warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak hanya bergantung kepada kelengkapan kapal canggih semata-mata malah perlu berdisiplin, bermotivasi dan berdedikasi dalam tanggungjawab yang sudah diamanahkan untuk menjaga keselamatan negara.

Baginda bertitah, kecanggihan peralatan dan kelengkapan tidak mencukupi jika pegawai dan anggota TLDM kurang berkemahiran dalam pengendalian operasi kapal dan asetnya.

“Saya ingatkan kepada warga TLDM bahawa kecanggihan peralatan tidak cukup untuk menjamin kejayaan di medan tempur kerana ia perlu disertakan sikap positif seperti berdisiplin, bermotivasi, berpengetahuan dan berdedikasi.

“Tanpa sikap positif ini, peralatan tidak akan beroperasi dengan berkesan dan saya ingin tekankan bahawa faktor ilmu pengetahuan dan kemahiran ini tidak boleh diabaikan oleh setiap warga TLDM,” titahnya ketika majlis lawatan diraja ke kapal selam, KD Tun Razak dan kapal peronda generasi baru, KD Pahang di pangkalan TLDM Tanjung Gelang, di sini, semalam.

Baginda turut mengingatkan semua warga TLDM supaya tidak leka dengan setiap kejayaan yang sudah dicapai setakat ini.

“Dalam banyak perkara lebih mudah untuk kita mencapai kejayaan jika dibandingkan untuk mempertahankannya.

“Jadi dengan itu, warga TLDM perlu juga menjaga prestasi dan berusaha untuk menjadi tentera laut bertaraf dunia pula selepas ini.

Sultan Pahang yang berpeluang melihat dengan lebih dekat pembinaan dan operasi KD Tun Razak dan KD Pahang, merasakan tidak perlu lagi timbul pertikaian daripada mana-mana pihak tentang pemilikan kapal-kapal ini.

“Memandangkan beta sendiri sudah diberi taklimat dan ditunjukkan serba sedikit gambar-gambar pembinaan dari awal hingga akhir, jelas menunjukkan kapal-kapal tersebut merupakan aset tercanggih dimiliki kerajaan setakat ini.

“Jadi tidak perlu lagi ada mana-mana pihak cakap bukan-bukan tentang kapal ini dan menyatakan bahawa selama ini kerajaan membeli kapal selam dan kapal peronda yang sudah lama,” titahnya.

Turut mengiringi, Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob dan Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Sementara itu, menurut Aziz, perolehan kapal selam yang dimiliki sekarang ini telah melengkapkan lagi keupayaan tiga dimensi meliputi anti udara, permukaan dan bawah permukaan.

“KD Tun Razak merupakan kapal selam kedua milik TLDM selepas KD Tunku Abdul Rahman yang telah dibawa pulang dari Toulon, Perancis pada 30 April 2010 dan tiba di Malaysia pada 2 Julai tahun yang sama sebelum diserahkan kepada TLDM pada 25 Jan 2010.

“Kapal selam penyerang ini berukuran 66.4 meter dan mampu menyelam sedalam 300 meter dan dapat mencapai kelajuan maksimum 20 knot dan ketahanan operasinya mampu bertahan sehingga 50 hari di laut,” katanya.

Sementara itu, katanya KD Pahang pula merupakan kapal perang sepanjang 90.1 meter yang boleh mencapai kelajuan maksimum 24 knot serta mempunyai ketahanan beroperasi selama 21 hari tanpa henti.

“KD Pahang sebelum ini berpangkalan di Markas Wilayah Laut 2, Kota Kinabalu, Sabah kini telah bertukar tugas ke Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan TLDM di sini.

“Kapal ini dilengkapi peralatan moden dan berteknologi tinggi sesuai dengan perkembangan aspek pertahanan masa kini dan boleh menjalankan tugas dalam dua keadaan.

“Semasa aman ia mengawasi perairan negara, mencari dan menyelamat manakala dalam keadaan konflik kapal tersebut membuat peninjauan dan pengawasan, pertahanan pangkalan, bantuan terhadap operasi darat serta sebagai pengiring,” katanya.

Umno takut aura Nik Aziz

Dewan Muslimat Pas Pusat menyifatkan pihak lawan khususnya Umno takut dengan aura Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sehingga menjadikan sebuah akhbar sebagai platform ‘menyerang’ pemimpin Pas itu.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, ketakutan Umno terhadap Pas, Pakatan Rakyat dan Mursyidul Am itu memuncak apabila akhbar berkenaan secara terang- terangan mengkritik Nik Abdul Aziz.

“Suasana politik negara khususnya parti pemerintah kini dalam ketakutan yang semakin kronik terhadap Pakatan Rakyat, khususnya Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Tuan Guru Nik Aziz sehingga mendakwa pemimpin ini tidak wajar mempertahankan kedudukan masing-masing,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zailah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan dalam sebuah akhbar berhubung kesanggupan DAP bersama Pas bersebab iaitu menggunakan parti itu untuk kepentingan mereka iaitu mencari pengaruh dalam kalangan orang Melayu.

Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, beliau hairan apabila masyarakat mengukur tahap pemimpin Nik Aziz yang negatif seperti kurang mendengar dan pemikiran tidak tajam sedangkan apa yang dialami adalah sebaliknya.

“Apa yang berlaku, Tuan Guru (gelaran bagi Nik Abdul Aziz) sentiasa mengajar dan mengingatkan kita khususnya dalam hal- hal berkaitan agama dan politik, saya hairan bagaimana isu mengatakan pemikiran Tuan Guru tidak lagi tajam dan sebagainya ini ditimbulkan,” katanya.

Zailah berkata, Barisan Nasional kini semakin takut akibat kecurangan dan ketidakadilan yang dilakukan sewaktu memerintah negara ini.

Beliau turut menyeru orang ramai agar menumbangkan agar terus memantapkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat dan menumbangkan kerajaan Umno dan BN pada Pilihan Raya Umum ke- 13 (PRU13) nanti.

Pak Lah serahkan kepada PM tentukan calon Parlimen Kepala Batas

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata, beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menentukan calon bagi kerusi Parlimen Kepala Batas pada pilihan raya umum ke-13 (PRU 13).

Katanya, keputusan sama ada beliau akan terus menjadi calon atau tidak pada PRU 13 akan dibuat oleh Najib.
"Yang penting adalah untuk menentukan Barisan Nasional (BN) dapat mengekalkan kerusi itu," katanya selepas menyampaikan Insentif Peningkatan Hasil (IPH) kepada pesawah di sini hari ini.
"Apa yang penting untuk kita sekarang bukan sahaja mengekalkan kejayaan BN tetapi juga memastikan kejayaan kita itu akan menjadi lebih baik," katanya.

Abdullah yang menjadi Anggota Parlimen Kepala Batas sejak tahun 1978 dan meletak jawatan sebagai perdana menteri tiga tahun lalu, berkata beliau akan terus memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas sehingga pemilihan agung parti akan datang.

Silap Ejaan Tamil Kain Rentang Thaipusam: Tg Adnan Minta Maaf

Anggota Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Isnin memohon maaf kepada kaum India, atas kesalahan terjemahan dan ejaan bahasa Tamil pada kain rentang "Selamat Menyambut Thaipusam" yang digantung di beberapa lokasi di sini.

Beliau yang kesal dengan perkara itu, berkata pihaknya menggantung kain rentang tersebut dengan niat baik iaitu sebagai menghormati penganut agama Hindu yang menyambut perayaan Thaipusam.

"Niat saya adalah baik mahukan tulisan Tamil turut serta pada kain rentang itu. Jadi kita minta pekerja BN (Barisan Nasional) dan anggota MIC untuk membantu menterjemahkan dan menulis dalam bahasa Tamil.

"Nampaknya mereka tidak mahir dalam bahasa Tamil. Saya minta maaf atas perkara tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Aman Kampus Kembara Mahasiwa Bersama Masyarakat di sini.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN berjanji akan memastikan kesilapan serupa tidak berulang dan akan mengambil pakar bahasa untuk melakukan terjemahan pada masa akan datang.

Beliau turut mengakui kain rentang itu disiapkan dalam keadaan tergesa-gesa.Kain rentang itu ditarik balik sehari selepas digantung apabila mendapat reaksi negatif daripada masyarakat keturunan India di sini.

Dakwaan UMNO sekat duit zakat dianggap tuduhan liar

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menafikan dakwaan kononnya UMNO menyekat pemberian bantuan wang zakat kepada anak-anak Terengganu yang melanjutkan pelajaran ke Mesir.
Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab, Ahmad Said yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu berkata, UMNO tidak pernah campur tangan dalam urusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
"Maidam bukan di bawah kuasa Menteri Besar. Saya tidak pernah sekalipun campur tangan untuk menentukan orang ini layak dan orang ini tidak layak menerima biasiswa ini kerana Maidam mempunyai jawatankuasa, fatwa dan mengikut lapan Asnaf yang layak menerimanya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau sebelum itu menyaksikan penyampaian zakat perniagaan Maybank Islamic berjumlah RM600,000 oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Muzaffar Hisham kepada Ketua Pegawai Eksekutif Maidam Wan Harujan Sulaiman.
Pada 26 Jan lepas, Wan Harujan menerima SMS berbunyi : “UMNO Terengganu sekat duit zakat kepada pelajar Terengganu di Mesir..........fikirkan”.
Ahmad berkata, bahawa pada 2008, Maidam telah mengeluarkan zakat berjumlah RM1.37 juta kepada 274 pelajar, 2009 sebanyak RM1.47 juta (313 pelajar), 2010 sebanyak RM1.26 juta (285 Pelajar), 2011 sebanyak RM1.69 juta (286 pelajar) dan tahun ini dijangka sebanyak RM2.11 juta kepada 286 pelajar.
Katanya, beliau tidak pernah dimaklumkan siapa yang menerima zakat tersebut dan siapa yang tidak menerimanya kerana tidak pernah meminta senarai penerima daripada Maidam.
Wan Harujan juga menafikan penglibatan Umno dalam bantuan wang zakat kepada pelajar ke Mesir.
"Maidam dalam mesyuaratnya bebas membuat keputusan berlandaskan syariah serta peraturan yang ditetapkan dengan pertimbangan diberi berasaskan kepentingan pengagihan mengikut Asnaf yang layak,” katanya.

Shahrizat beri keterangan di ibu pejabat SPRM

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini untuk membantu siasatan berhubung isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).
Ketua Wanita UMNO itu yang bertudung putih dan berbaju kurung ungu muda itu tiba berseorangan di perkarangan SPRM pada kira-kira pukul 4 petang dan disambut oleh Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali.
"Kerana prosedur, saya bercuti dengan harapan saya akan dipanggil untuk siasatan. Saya benar-benar mahukan tidak ada sebarang yang disembunyikan mengenai siasatan itu kerana saya menjadi mangsa tuduhan liar itu. Saya menunggu dengan sabar...mereka hanya panggil saya semalam.
"Alhamdulillah, hari ini giliran saya untuk disiasat. Jadi, saya datang. Saya ucapkan terima kasih kepada SPRM kerana memanggil saya dan saya datang dengan rela hati," katanya kepada pemberita selepas hampir dua jam setengah berada di bangunan SPRM.
Shahrizat yang kembali bertugas pada hari ini selepas tiga minggu bercuti berkata, sepanjang sesi dengan SPRM, beliau memberikan jawapan yang jelas bahawa beliau tidak pernah terlibat dengan sebarang keputusan dan tidak ada apa-apa kaitan dengan isu-isu dalam NFC.
"Saya datang ke sini kerana saya berkahwin dengan pengerusi (eksekutif) NFC dan sebab itu persoalan sama ada, ada konflik kepentingan atau tidak dalam membuat keputusan. Jadi itu merupakan isu yang sangat jelas.
"Saya telah katakan bahawa saya bukan sebahagiannya," kata Shahrizat

Palanivel ada alasan ambil alih MIC Perak

Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel mempunyai sebab dan alasan tertentu bagi mengambil alih jawatan Pengerusi Perhubungan parti itu di Perak daripada pemimpin veteran, Datuk S. Veerasingam yang berkuatkuasa serta merta pada Ahad lepas, kata Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Beliau juga tidak mahu memberitahu sama ada perkara pengambil alihan itu dibincang bersamanya oleh Palanivel sebelum mengambil keputusan itu yang telah mencetuskan ketidakpuasan hati segelintir anggota MIC di Perak.
"Itu saya tak perlu cakaplah...ada bincang atau tidak. Daripada sistem kita (MIC), presiden tak perlu berunding dengan mana-mana pihak. Presiden mesti ada sebab dan alasan untuk mengambil tindakan itu," katanya di sini hari ini.
Palanivel yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini berkata, keputusan itu diambil bagi memperkukuhkan lagi kedudukan MIC di negeri tersebut.
Beliau juga berkata langkah itu tidak dibuat secara mengejut tetapi telah difikirkannya buat sekian lama.
Bagaimanapun Veerasingam yang juga Penasihat Khas kaum India kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menerima keputusan itu secara positif dengan berkata, peralihan kuasa itu mampu meningkatkan sokongan rakyat terutama kaum India terhadap MIC. - BERNAMA

Angpau Putih: Tidak munasabah DAP salahkan MCA

Tuduhan bahawa MCA ada hubungan dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) adalah tidak munasabah kerana Perkasa pernah mengadakan demonstrasi di ibu pejabat MCA di sini dan telah mendesak anggotanya supaya tidak mengundi MCA pada pilihan raya umum akan datang.
Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chor Chee Heung berkata, “Jika MCA ada hubungan dengan Perkasa, kenapa Perkasa mengadakan demonstrasi di ibu pejabat MCA dan mendesak anggotanya agar tidak mengundi calon MCA pada pilihan raya umum akan datang?
"Jika apa yang dikatakan Lim Guan Eng pada Selasa adalah benar, adakah ia menandakan sekiranya terdapat mana-mana pertubuhan yang meminta anggotanya memboikot DAP, akan senyap-senyap bekerjasama dengan DAP? Ini benar-benar dakwaan yang tidak berasas.
"Saya menasihatkan Lim Guan Eng jangan sesekali menyalahkan MCA tanpa alasan kukuh, jika tidak ia akan menjadi tidak munasabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chee Heung berkata, dakwaan Guan Eng bahawa MCA mempunyai hubungan dengan Perkasa hanyalah ”semata-mata mahu menyembunyikan hubungan rapat antara DAP dan Pas”.
Isu tentang MCA mempunyai hubungan dengan Perkasa timbul apabila pengerusi cawangan MCA dilihat pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Perkasa di mana presidennya, Datuk Ibrahim Ali telah memberikan wang di dalam sampul putih, yang mana ia adalah dilarang dalam adat resam masyarakat Cina. — BERNAMA