Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, polis membebaskan pelajar terbabit selama sebulan tetapi boleh memanggilnya pada bila-bila masa sekiranya perlu bagi membantu siasatan.
“Dia adalah pelajar tahun keempat jurusan kejuruteraan, dan sedang menduduki peperiksaan. Polis membebaskannya bagi membolehkan dia menduduki peperiksaan hari ini,” katanya kepada pemberita.
Pelajar berusia 24 tahun itu dikatakan telah membuat kenyataan untuk meletakkan bom pada helikopter yang akan dinaiki Perdana Menteri dalam lawatannya ke USM minggu depan.
Dia ditahan pada 1.30 petang semalam selepas polis mendapat maklumat mengenai kenyataannya itu.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperutukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Ayub berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan, pelajar itu mengakui kenyataan itu dibuat dengan kehendaknya sendiri dengan niat bergurau dan hanya suka-suka. Bapa pelajar itu yang juga bekas anggota keselamatan meminta maaf kepada polis.
“Kita bukan hendak menyekat kebebasan bersuara tetapi sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab sepatutnya dia tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara dan penggunaan Internet sehingga boleh menimbulkan kekecohan dan kemarahan pihak lain.
“Perkara seperti ini sesuatu yang serius dan tidak boleh dianggap main-main, ia melibatkan keselamatan pemimpin negara dan secara tidak langsung orang awam yang lain juga,” katanya.
Ayub berkata, polis masih meneruskan siasatan mengenai latar belakang pelajar itu serta hubungannya kerana dikhuatiri mempunyai kaitan dengan anasir-anasir subversif.
Setakat ini terdapat tiga laporan polis dibuat oleh pihak-pihak yang membantah tindakan pelajar itu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan