Seramai 30,000 ahli Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buroh Binaan Landasan Kereta api Siam ke Burma 1942-1946 merayu kerajaan membayar wang pampasan yang sepatutnya.
Pengerusinya, Kamarulzaman Salleh berkata, permohonan tersebut sudah dipohon sejak 1954 bertujuan membela nasib bekas buruh paksa dan hamba seks semasa perang kedua.
Menurutnya, dikatakan wang pampasan itu sudah dibayar oleh kerajaan Jepun dan sepatutnya mangsa ini menerima pampasan masing-masing.
“Difahamkan juga kerajaan Jepun sudah membayar pampasan itu kepada rakyat negara lain di Asia Tenggara seperti Filipina, Indonesia dan sebagainya. Mangsa di negara itu sudah menerima wang pampasan mereka.
“Sudah 58 tahun persatuan ini memperjuangkan hak mangsa buruh paksaan ini namun hingga kini masih belum ada tanda-tanda atau ura-ura kerajaan mahu membayarnya,” katanya.
Kamarulzaman berkata, dalam hal ini pihaknya sudah membuat banyak kali mesyuarat agung dan menghantar surat kepada beberapa Perdana Menteri.
Menurutnya, pihaknya juga sudah membawa perkara ini kepada Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia.
“Kami harap perkara ini mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Apa yang menyedihkan ada mangsa buruh ini yang menanti wang pampasan itu hingga akhir hayat. Mereka mahu merasa wang itu untuk menunaikan haji dan umrah.
“Waris pula mahu menggunakan wang itu untuk membuat haji kepada mangsa buruh paksaan itu,” katanya.
Timbalan Pengerusinya, Alias Ismail berkata, daripada penceritaan arwah abangnya, Adam Ismail yang merupakan salah seorang buruh paksa itu menyebabkan dirinya begitu sedih kerana mangsa diperlakukan seperti binatang dan tanpa ada belas kasihan.
Beliau berkata, difahamkan seramai 72,000 rakyat Malaysia yang dihantar ke Burma dan hanya 30,000 yang selamat pulang ke tanah air manakala seramai 20,000 wanita menjadi hamba seks.
Menurutnya, kira-kira 42,000 orang buruh paksa yang berusia awal 20an dan belasan tahun hilang dipercayai meninggal dunia di sana.
“Mangsa buruh paksa ini dipaksa membina landasan api sejauh 415 Kilometer (KM) bermula stesen Tha Rua Noi hingga ke stesen Thanbyuzayat yang meliputi 60 perhentian stesen.
“Pecahan mengikut kaum mendapati Melayu sebanyak 60 peratus, India 20 peratus, Cina dengan 15 peratus dan lima peratus lagi lain-lain kaum,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan