Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak pernah menyatakan hasratnya untuk menyertai parti lain kecuali terus kekal berjuang dalam Umno bagi membela nasib hidup rakyat di kawasan tersebut.
Justeru, mereka yang cuba menolak perjuangan Tengku Razaleigh dengan mengeluarkan kenyataan mengelirukan hanya untuk melepas geram berikutan pemimpin itu tidak melayan permintaan bagi kepentingan kumpulan berkenaan.
Naib Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Datuk Nozula Mat Diah berkata, sejarah perjuangan Tengku Razaleigh juga tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak dan telah banyak berjasa bukan sahaja kepada penduduk Gua Musang, tetapi juga Kelantan dan negara ini.
Oleh itu, beliau tetap mempertahankan kewibawaan Tengku Razaleigh untuk terus kekal memimpin Umno bahagian serta dicalonkan Barisan Nasional untuk kekal bertanding kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) akan datang.
“Jangan cepat menghukum Tengku Razaleigh supaya berundur daripada menjadi calon BN bagi kerusi itu pada PRU13 kerana pucuk pimpinan parti belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara tersebut.
“Saya anggap kumpulan menentang itu adalah mereka yang kecewa dengan perjuangan Ku Li berikutan kejujuran dalam membela nasib hidup rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), di Dewan Orang Ramai
Rancangan Tanah Felda Chiku 1, dekat sini, kelmarin.
Berkata demikian ketika mengulas sekumpulan 16 pemimpin akar umbi Umno Bahagian Gua Musang disiarkan dalam media yang mendesak Tengku Razaleigh supaya berundur daripada menjadi calon BN kawasan itu pada PRU13 nanti.
Nozula juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh berkata, rakyat juga tidak pernah menolak perjuangan Tengku Razaleigh sejak dahulu sampai sekarang dan tidak ada sebab pemimpin itu diminta berundur.
Malah, katanya, sejak kebelakangan ini sokongan rakyat terhadap pemimpin terbabit bertambah kuat berikutan pencapaian yang cemerlang memajukan rakyat tanpa berlaku sebarang skandal.
“Ku Li tidak pernah ada kepentingan diri dalam perjuangannya, malah rakyat juga terima dengan selesa setiap usaha yang dilakukan dan rapat dengan semua penduduk,” katanya.
Beliau turut yakin sebarang tohmahan dan desakan itu tidak menggugat perjuangan Tengku Razaleigh termasuk turut yakin pucuk pimpinan parti akan terus mencalonkannya untuk bertanding pada PRU13.
“Sebarang kenyataan Ku Li yang dikeluarkan sebelum ini tidak pernah menggambarkan dia menentang pucuk pimpinan, sebaliknya apa yang dinyatakan hanya sebagai beri pandangan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan