Pemberian
angpau berwarna putih pada satu perhimpunan Tahun Baru Cina anjuran
Perkasa pada Ahad lepas, yang dianggap menghina kaum Cina kerana ia
biasanya diberikan semasa kematian, tidak ada kaitan dengan kerajaan,
kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata pemimpin Perkasa, sebuah badan bukan
kerajaan, adalah Datuk Ibrahim Ali yang merupakan Anggota Parlimen
bebas, dan oleh itu, pemberian paket berwarna putih pada majlis itu
tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang dipersetujui oleh kerajaan.
Menulis dalam Facebook berbahasa Cina beliau, "Ah Jib Gor", Najib
berkata : "Saya berpendapat bahawa jika kita benar-benar faham budaya
dan pantang larang kaum Cina, kontroversi seperti ini boleh dielakkan.
"Kita semua tahu perkataan angpau ertinya envelop merah, yang
warnanya mestilah merah dan bukan warna lain. Insiden ini boleh
dijadikan satu pengajaran sosial."
Semalam Naib Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong meminta Perkasa
memohon maaf kepada masyarakat Cina berhubung kejadian itu manakala
Setiausaha Agung Pemuda MCA Chai Kim Sen menyifatkan tindakan Perkasa
itu sebagai tidak
menghormati adat budaya kaum Cina.
Timbalan Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Bakar telah menjelaskan
bahawa angpau berwarna merah memang digunakan pada majlis itu tetapi
disebabkan ia telah kehabisan, envelop putih terpaksa digunakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan