Sebanyak 57 keluarga di Kampung Bunga Raya dekat sini melakukan mogok lapar hari ini, sebagai bantahan terhadap
kerajaan Selangor yang gagal mengotakan janji pilihan raya umum lepas, untuk menyediakan rumah baru kepada mereka.
kerajaan Selangor yang gagal mengotakan janji pilihan raya umum lepas, untuk menyediakan rumah baru kepada mereka.
Memulakan mogok lapar pada 9 pagi, keluarga yang mengandungi lebih 100 anggota itu mendesak untuk bertemu pegawai kanan kerajaan negeri dan pusat bagi menyelesaikan isu yang berlarutan sejak hampir empat tahun tersebut.
Mereka memberitahu Bernama, Ahli Parlimen kawasan Subang dari Parti Keadilan Rakyat, R. Sivarasah telah menjanjikan setiap keluarga akan mendapat rumah baru di Jalan Pluto menjelang 2010.
"Kami diberitahu akan dapat menyambut Deepavali di rumah baru kami pada 2010, tapi itu tinggal mimpi...tiada apa yang dilakukan setakat ini. Itu cuma
janji kosong Sivarasah.
janji kosong Sivarasah.
"Projek perumahan yang bermula 2008 telah terbengkalai sehingga sekarang," kata Naib Presiden Pertubuhan Perikatan Prihatin Malaysia, R. Balan di sini.
Keluarga terbabit mengakhiri mogok lapar mereka kira-kira 4.30 petang dengan ketibaan Anggota Dewan Undangan Negeri Paya Jaras Datuk Muhammad Bushro Mat Johor dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shafei Abdullah yang berjanji untuk membantu.
Turut menemui keluarga terbabit Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar.
Mengulas lanjut, Balan berkata pemaju pertama projek perumahan itu diisytihar bankrap dan melarikan diri, manakala pemaju kedua pula menipu dengan menggunakan campuran 'polisterin' untuk membina dinding rumah, menyebabkan penduduk membantah.
"Halangan terbabit menyebabkan sesetengah daripada kami berhenti membayar balik pinjaman menyebabkan kami disenarai hitam oleh bank," katanya menambah mereka telah membuat laporan polis terhadap pemaju dan juga Ahli Parlimen Subang, namun tidak ada tindakan diambil.
Ketua kampung S. Perumah, 62, pula berharap kerajaan persekutuan akan membantu mereka memandangkan semua keluarga terbabit telah hidup dalam keadaan bekalan air dan elektrik yang tidak sempurna sejak 18 tahun lalu.
"Kami perlukan penyelesaian segera kerana kerajaan negeri tidak membantu kami. Kami mahu kerajaan pusat membantu," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan