Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menyarankan warga Tentera Laut Diraja
Malaysia (TLDM) tidak hanya bergantung kepada kelengkapan kapal canggih
semata-mata malah perlu berdisiplin, bermotivasi dan berdedikasi dalam
tanggungjawab yang sudah diamanahkan untuk menjaga keselamatan negara.
Baginda bertitah, kecanggihan peralatan dan kelengkapan tidak mencukupi
jika pegawai dan anggota TLDM kurang berkemahiran dalam pengendalian
operasi kapal dan asetnya.
“Saya ingatkan kepada warga TLDM bahawa kecanggihan peralatan tidak
cukup untuk menjamin kejayaan di medan tempur kerana ia perlu disertakan
sikap positif seperti berdisiplin, bermotivasi, berpengetahuan dan
berdedikasi.
“Tanpa sikap positif ini, peralatan tidak akan beroperasi dengan
berkesan dan saya ingin tekankan bahawa faktor ilmu pengetahuan dan
kemahiran ini tidak boleh diabaikan oleh setiap warga TLDM,” titahnya
ketika majlis lawatan diraja ke kapal selam, KD Tun Razak dan kapal
peronda generasi baru, KD Pahang di pangkalan TLDM Tanjung Gelang, di
sini, semalam.
Baginda turut mengingatkan semua warga TLDM supaya tidak leka dengan setiap kejayaan yang sudah dicapai setakat ini.
“Dalam banyak perkara lebih mudah untuk kita mencapai kejayaan jika dibandingkan untuk mempertahankannya.
“Jadi dengan itu, warga TLDM perlu juga menjaga prestasi dan berusaha
untuk menjadi tentera laut bertaraf dunia pula selepas ini.
Sultan Pahang yang berpeluang melihat dengan lebih dekat pembinaan dan
operasi KD Tun Razak dan KD Pahang, merasakan tidak perlu lagi timbul
pertikaian daripada mana-mana pihak tentang pemilikan kapal-kapal ini.
“Memandangkan beta sendiri sudah diberi taklimat dan ditunjukkan serba
sedikit gambar-gambar pembinaan dari awal hingga akhir, jelas
menunjukkan kapal-kapal tersebut merupakan aset tercanggih dimiliki
kerajaan setakat ini.
“Jadi tidak perlu lagi ada mana-mana pihak cakap bukan-bukan tentang
kapal ini dan menyatakan bahawa selama ini kerajaan membeli kapal selam
dan kapal peronda yang sudah lama,” titahnya.
Turut mengiringi, Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob dan Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
Sementara itu, menurut Aziz, perolehan kapal selam yang dimiliki
sekarang ini telah melengkapkan lagi keupayaan tiga dimensi meliputi
anti udara, permukaan dan bawah permukaan.
“KD Tun Razak merupakan kapal selam kedua milik TLDM selepas KD Tunku
Abdul Rahman yang telah dibawa pulang dari Toulon, Perancis pada 30
April 2010 dan tiba di Malaysia pada 2 Julai tahun yang sama sebelum
diserahkan kepada TLDM pada 25 Jan 2010.
“Kapal selam penyerang ini berukuran 66.4 meter dan mampu menyelam
sedalam 300 meter dan dapat mencapai kelajuan maksimum 20 knot dan
ketahanan operasinya mampu bertahan sehingga 50 hari di laut,” katanya.
Sementara itu, katanya KD Pahang pula merupakan kapal perang sepanjang
90.1 meter yang boleh mencapai kelajuan maksimum 24 knot serta mempunyai
ketahanan beroperasi selama 21 hari tanpa henti.
“KD Pahang sebelum ini berpangkalan di Markas Wilayah Laut 2, Kota
Kinabalu, Sabah kini telah bertukar tugas ke Markas Wilayah Laut 1,
Pangkalan TLDM di sini.
“Kapal ini dilengkapi peralatan moden dan berteknologi tinggi sesuai
dengan perkembangan aspek pertahanan masa kini dan boleh menjalankan
tugas dalam dua keadaan.
“Semasa aman ia mengawasi perairan negara, mencari dan menyelamat
manakala dalam keadaan konflik kapal tersebut membuat peninjauan dan
pengawasan, pertahanan pangkalan, bantuan terhadap operasi darat serta
sebagai pengiring,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan