Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mengemukan borang permohonan permit bagi mengadakan perhimpunan Raja Berdaulat, Kasih Dijunjung di ibu negara, 29 April ini.
Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar berkata, permohonan tersebut akan mendapat maklum balas pada masa terdekat.
Menurutnya, mereka memohon kelulusan untuk menggunakan sama ada Dataran Merdeka, Padang Merbuk atau mana-mana tempat yang sesuai di ibu kota.
“Perhimpunan ini dijangka dihadiri orang ramai daripada pelbagai kaum bagi melahirkan rasa syukur di atas pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 baru-baru ini.
“Kita akan berdoa pada perhimpunan tersebut dan disertai tokoh- tokoh yang menyampaikan ceramah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, hari ini.
Beliau turut menyelar tindakan wakil rakyat pembangkang menghina Raja-Raja Melayu ketika upacara pertabalan dan menganggap tindakan tersebut sebagai penderhaka serta hilang kesetiaan kepada negara.
Abdul Rahman berkata, perhimpunan yang bermula dari jam 9 pagi itu akan berterusan sehingga petang dengan pelbagai perngisian program.
“Kita akan terus mempertahankan institusi Raja dan mengajak orang ramai untuk bersama,” katanya.
Sementara itu, Perkasa akan terus mempertahankan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menganggap mereka yang meminjam seharusnya membayar semula.
“Kita bukan negara maju lagi yang boleh menanggung pelajar belajar ke universiti dengan percuma. Kerajaan juga sudah memberi biasiswa kepada pelajar yang cemerlang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan