MADRASAH Salihiah yang berusia 100 tahun dibina di tanah wakaf di Jalan Tambang badak dan akan dirobohkan untuk pembinaan pusat komersial.
ALOR SETAR: Kerajaan Kedah tetap akan merobohkan Madrasah Salihiah, Kancut di Jalan Tambang Badak, di sini untuk memberi laluan kepada projek pembangunan mega Aman Sentral, dengan memberi jaminan bangunan itu adalah premis terakhir yang akan dirobohkan.
Katanya, beliau sudah melawat tapak projek berkenaan dua hari lalu dan menyifatkan kerja pembinaan berjalan lancar serta yakin ia akan menjadi mercu tanda baru Alor Setar, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat dan pembangunan ekonomi negeri.
“Kita sudah selesaikan isu Madrasah Salihiah dengan memberi jaminan kepada rakyat bahawa bangunan itu akan menjadi premis terakhir yang akan dirobohkan iaitu selepas semua yang dirancang siap.
“Selain itu, kita juga sudah memberi pampasan untuk membolehkan satu tapak baru yang dirasakan sesuai untuk mendirikan semula bangunan yang dirobohkan berkenaan dengan nilai setara,” katanya selepas Mesyuarat Exco di sini, semalam.
Selain itu, Azizan berkata, beliau juga sudah melihat pelan pembangunan kompleks baru berkenaan yang didakwa turut dilengkapi surau dengan reka bentuk moden yang mampu memberi keselesaan kepada jemaah.
"Selain itu, kita juga akan membangunkan sebuah surau di dalam tapak kompleks berkenaan dengan reka bentuk moden yang dijangka dapat memberi keselesaan kepada 400 jemaah selain boleh digunakan untuk solat Jumaat,” katanya.
Azizan berkata, projek Aman Sentral bernilai hampir RM500 juta yang dijangka siap pada 2014 itu akan membuka lebih 2,000 peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.
“Pembangunan projek Aman Sentral ini bakal mewujudkan peluang kerja kepada penduduk tempatan, selain meningkatkan pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Ahad lalu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin, menyelar sikap kerajaan PAS Kedah kerana tidak mempertahankan Madrasah Salihiah, bagi memberi laluan kepada Projek Pembangunan Aman Sentral.
Zulkifli mendakwa kerajaan Kedah mengamalkan sikap ‘double standard’ kerana dalam masa yang sama mengekalkan rumah ibadah agama lain dan lari daripada konsep parti itu yang kononnya memperjuangkan Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan