Saya tidak kisah disiasat
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bersedia untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya benar pihak pembangkang ingin membuat dakwaan terhadapnya.
Ini berikutan ada ura-ura Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang ingin mengemukakan laporan terhadap Ahmad kepada suruhanjaya itu hari ini.
Malah, Ahmad secara sinis mengatakan, laporan itu sengaja ingin dibuat bagi menimbulkan isu memandangkan pemimpin Pas itu kini dalam keadaan tertekan.
“Bawalah (ke SPRM), saya tidak kisah. Ingin saya tegaskan, apabila laporan audit menyatakan ada kelemahan, kita akui kelemahan itu. Tidak semestinya berlaku penyelewengan.
“Kalau semua dianggap ada penyelewengan, payahlah. Saya saman dia sebab fitnah dan dia pula nak lapor kepada SPRM, saya tiada masalah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman di sini, semalam.
Kata Ahmad, dia tidak menghadapi masalah untuk disiasat kerana rekodnya bersih selama tiga setengah tahun menerajui Kerajaan Negeri.
Malah katanya, dia menjadi calon setelah disahkan bebas oleh SPRM dan dilantik menjadi Menteri Besar setelah dibersihkan oleh SPRM daripada fitnah yang dilakukan oleh pihak lain.
“Saya tidak kisah. Saya jadi MB bukan tiga bulan setengah, tapi tiga tahun setengah. Dia sengaja timbulkan isu sebab dia kini dalam keadaan tertekan. Sudah tiga kali dia tipu, inilah pembohong bersiri.
“Apabila saya jawab, dia tiada. Kita bercakap dalam dewan (Sidang Dewan Undangan Negeri) dan apabila dia bohong, kita tidak boleh saman dia sebab dia dilindungi dewan. Tetapi sebelum dia bawa ke dewan, dia bercakap dulu dalam kolum dia di sebuah akhbar pembangkang, macam-macam,” katanya.
Kata Ahmad, dia berasa sangat kecewa kerana setiap kali ingin menjawab persoalan atau tohmahan yang dibuat oleh Dr Syed Azman, pemimpin Pas itu seolah-olah ingin mengelak.
Selain itu, Ahmad berkata, dia mengetahui penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh pihak tertentu menyatakan Kerajaan Negeri hanya membelanjakan RM4 juta bagi pendidikan, berbanding RM9 juta bagi Zoo Kemaman.
“Macam mana mereka boleh kata mcam tu sedangkan bantuan kepada pelajar sahaja sebanyak RM16 juta, Yayasan Terengganu pula belanja RM250 juta manakala e-Book sahaja RM23 juta. Banyak fitnah yang tidak munasabah,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan